SHAH ALAM, 30 OGOS: Golongan pendidik memainkan peranan besar dalam pembangunan sesebuah negara selain menjadi tiang penting kepada anak bangsa, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran perlu bekerjasama erat dengan warga pendidik demi membentuk generasi dengan sahsiah serta perilaku yang baik.
“Guru bukan hanya sediakan pendidikan asas akademik sahaja tetapi juga membentuk jati diri. Kalau tidak dibentuk awal, ia akan jadi halangan dan cabaran besar pada masa depan.
“Kita kena berganding bahu untuk pastikan generasi masa depan dapat dibentuk dengan jati diri, sahsiah, akhlak yang betul,” katanya ketika berucap di majlis apresiasi dan ramah mesra bersama Persatuan Guru Besar Malaysia cawangan Selangor.
[caption id="attachment_660854" align="aligncenter" width="805"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama tetamu Majlis Apresiasi Kepimpinan Madani dan Ramah Mesra Persatuan Guru Besar Malaysia cawangan Selangor (PGBM) bersama Dato Menteri Besar di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 30 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Dalam majlis berkenaan, Amirudin turut menyampaikan anugerah kepada lebih 50 guru besar yang mencapai kecemerlangan dalam pelbagai kategori.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Ehsan, Gombak berkata anugerah diterimanya bagi kategori teknologi menjadi pembakar semangat untuk sekolah terus meraih kejayaan.
“Kami aktif dalam mengendalikan dron. Tahun ini kami bersaing hingga peringkat antarabangsa di China dan Singapura. Peserta kami berusia bawah 12 tahun berbanding negara lain melepasi usia 15 tahun.
“Insya-Allah kami akan terus berusaha membanggakan nama Selangor dan Malaysia pada masa depan,” katanya.
[caption id="attachment_660877" align="aligncenter" width="773"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama sebahagian penerima anugerah di Majlis Apresiasi Kepimpinan Madani dan Ramah Mesra Persatuan Guru Besar Malaysia cawangan Selangor bersama Dato' Menteri Besar di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 30 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]