ad
AGENDA

Peguam: Lafaz cerai mesti disahkan mahkamah syariah

30 Ogos 2024, 8:37 AM
Peguam: Lafaz cerai mesti disahkan mahkamah syariah

Oleh AMIRAHWANI RAHIMI

SHAH ALAM, 30 OGOS: Sebarang lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah perlu dirujuk ke mahkamah syariah untuk pengesahan dan boleh didenda jika didapati melanggar undang-undang.

Peguam syarie Liyana Sihar menegaskan jatuh talak bagi lafaz cerai tidak boleh dibuat sendiri, namun tindakan itu banyak dilakukan suami isteri di platform media sosial mutakhir ini.

"Untuk mengesahkan lafaz talak itu, kuasa hanya diberikan kepada hakim mahkamah syariah. Pandangan hakim akan menentukan sama ada talak itu jatuh atau tidak," katanya.

Bercakap dalam program Hai Selangor terbitan SelangorTV pagi tadi, Liyana berkata surat saman akan diberikan kepada suami yang melafazkan cerai di luar mahkamah.

Jelasnya, mereka juga boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) berkata suami isteri yang ingin bercerai perlu mengikut tatacara berlandaskan undang-undang sedia ada di negara ini.

Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata permohonan perlu dikemukakan kepada mahkamah syariah di tempat mereka bermastautin bagi menentukan sama ada penceraian itu dibenarkan atau tidak.

Mac lalu, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah menyatakan peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kos sara hidup ketika ini antara penyumbang jumlah perceraian di Selangor.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.