ad
AGENDA

KPKT salur hampir RM1 bilion jaya pelbagai inisiatif pastikan rakyat miliki rumah

30 Ogos 2024, 8:30 AM
KPKT salur hampir RM1 bilion jaya pelbagai inisiatif pastikan rakyat miliki rumah
KPKT salur hampir RM1 bilion jaya pelbagai inisiatif pastikan rakyat miliki rumah

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan hampir RM1 bilion setiap tahun untuk pelbagai inisiatif perumahan sosial dalam usaha mencapai matlamat "Shelter for All" atau rumah untuk semua.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pada tahun ini sahaja, kementeriannya telah memperuntukkan RM546 juta untuk Program Perumahan Rakyat dan RM358 juta untuk Rumah Mesra Rakyat.

Langkah ini, katanya, selari dengan komitmen KPKT untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik bertepatan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meningkatkan penyediaan perumahan mampu milik yang selesa di kawasan bandar.

[caption id="attachment_592274" align="aligncenter" width="800"] Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Ngar Kor Ming bercakap ketika sidang media lawatan kerja Program Sentuhan Kasih KPKT ke Selangor di Taman Tasik Cempaka, Hulu Langat pada 11 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

“Komitmen kami termasuk memastikan bahawa rumah-rumah ini bukan sahaja mampu milik tetapi juga berkualiti tinggi, selesa dan terletak di lokasi yang strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga berkata selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan juga komited untuk menyediakan 500,000 unit perumahan mampu milik kepada semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

Inisiatif itu diterajui oleh agensi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan PR1MA yang masing-masing komited untuk membina sekurang-kurangnya 5,000 unit setiap tahun.

Beliau berkata berdasarkan kajian oleh Institut Kajian Khazanah pada 2023 membabitkan 3,800 isi rumah di lima PPR, lebih daripada 60 peratus responden menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan tahap keselesaan di PPR secara umum.

“Ini hanya langkah permulaan. Kami sedang berusaha untuk menjenamakan semula program PPR kepada Program Residensi Rakyat (PRR) dan memperkukuh inisiatif ini untuk memastikan ia bertaraf antarabangsa setanding dengan program perumahan sosial di negara maju seperti Singapura dan Jepun,” katanya.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata syarat pembinaan projek perumahan baharu Madani perlu meliputi aspek keselesaan hidup, kehijauan kawasan, kemudahan rekreasi dan kemudahan rakyat, termasuklah gerai Madani yang perlu diberikan penekanan.

Perdana Menteri juga mahu kemajuan setiap projek di ibu kota dibentangkan secara berkala kepada Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agar segala proses mengikut jadual ditetapkan.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.