SHAH ALAM, 30 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru generasi muda lebih bijak mendepani dan menyelesai permasalahan serta cabaran mendatang.
Titah Baginda, sebagai generasi harapan bangsa dan negara, golongan itu terdedah dengan ancaman penjajahan bentuk baharu yang menyentuh aspek pemikiran dan budaya yang berkembang seiring dengan kepesatan teknologi maklumat khususnya media sosial.
"Justeru itu, generasi muda perlu bijak di dalam mendepani dan menyelesaikan segala permasalahan dan cabaran yang mendatang," titah Baginda sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Sultan Selangor bertitah jiwa generasi muda juga perlu diterap dengan semangat patriotik, toleransi dan saling menghormati serta dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu, keharmonian yang utuh serta bebas daripada sebarang elemen negatif.
"Beta yakin dengan penghayatan tentang erti sebenar kemerdekaan ini akan dapat menyuburkan kembali semangat cinta kepada negara demi membentuk sebuah negara yang maju dan progresif," titah Baginda.