Oleh NADIAH ZAMLUS
Selangor mencipta sejarah dengan merekod kejayaan baharu apabila menyumbang 25.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2023.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2 Julai itu juga menunjukkan negeri ini sekali lagi menjadi penyumbang tertinggi kepada KDNK (jadual 2).
Meningkat 0.4 peratus berbanding 2022, nilai ekonomi Selangor juga pertama kali mencecah RM406.1 bilion sekali gus negeri pertama di Malaysia melebihi paras RM400 bilion.
“Saiz dan nilai ekonomi Selangor adalah lebih besar meskipun jika nilai ekonomi negeri-negeri utama lain seperti Johor, Sarawak, dan Pulau Pinang digabungkan.
“Pada masa sama, Selangor negeri yang mencatat pertumbuhan ekonomi yang paling tinggi pada 2023, iaitu peningkatan 5.4 peratus dari tahun 2022,” kata Dato’ Menteri Besar.
Rentetan itu, Dato’ Seri Amirudin Shari yakin pembangunan sektor semikonduktor berupaya membantu Selangor menyumbang RM500 bilion kepada KDNK dalam tempoh tiga tahun.
“Inilah matlamat kita. Ini penting jika kita mahu menjadikan Selangor sebagai negeri pertama di Malaysia memiliki nilai ekonomi RM500 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya pada 6 Ogos.
Terus mencipta kejayaan, Selangor muncul negeri baharu berpendapatan tinggi berdasarkan Laporan Bank Dunia setakat Julai, kata pakar ekonomi Bank Dunia di Malaysia Dr Apurva Sanghi.
Negeri mencapai pendapatan negara kasar (GNI) USD14,291 (RM67,374), melepasi paras GNI per kapita peringkat negeri iaitu USD14,005 (RM66,026) (jadual 1).
GNI per kapita mengumpul bilangan keluaran penduduk sesebuah negara. Kekayaan negeri dibahagi bilangan penduduk, misalnya Selangor dihuni tujuh juta orang berbanding Sarawak kurang tiga juta penduduk.
Selangor kekal negeri pilihan pelabur dengan meraih RM12.4 bilion pada suku pertama tahun ini berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).
Laporan pada 21 Jun itu menyebut 8,377 peluang kerja diwujudkan hasil kelulusan 363 projek, meningkat 66.8 peratus berbanding suku pertama 2023 iaitu RM7.44 bilion.
Pencapaian berkenaan meneruskan prestasi negeri yang memberangsangkan dalam usaha menarik pelabur. Tahun lalu, pelaburan sektor pembuatan naik 40 peratus kepada RM19.31 bilion berbanding 2022.
Ia termasuk pelaburan Google LLC bernilai RM9.4 bilion di Taman Perniagaan Elmina di Sungai Buloh, Shah Alam. Pengumuman syarikat gergasi teknologi berpangkalan di Amerika Syarikat untuk membangunkan pusat data dan wilayah Google Cloud pertama di Malaysia membuka 26,500 peluang kerja menjelang 2030.
Sepanjang 12 bulan pembentukan Kerajaan Negeri, sektor semikonduktor dikenal pasti antara nadi penting ekonomi dan galakan menarik pelaburan asing, selain pembuatan dan perkhidmatan.
Sebahagian usaha menjadikan sektor itu lebih berdaya saing dibuat melalui pembukaan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pemacu semikonduktor Malaysia di Puchong, Subang Jaya.
Pembangunan taman reka bentuk IC dijangka menjana pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion, menurut Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
Merancakkan lagi sektor perkhidmatan negeri, prasarana maritim dibangunkan dengan membina pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Kuala Langat supaya Selangor kekal relevan sebagai laluan singgahan kapal dagangan rantau ini.
Pada 28 Mei, Dato’ Menteri Besar berkata rancangan bawah projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) itu juga memberi pulangan ekonomi berterusan kepada negeri.
Pencapaian berterusan itu juga meningkatkan lagi pendapatan isi rumah golongan penengah di Selangor sekali gus melepasi sasaran Rancangan Malaysia ke-12.
Membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Amirudin memberitahu pendapatan bulanan terkini kelompok itu mencapai RM9,983 berbanding RM9,290 menjelang 2025.
“Kejayaan ini mencerminkan kestabilan dan kemajuan ekonomi di Selangor serta usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya di Dewan Negeri Selangor.
Pendapatan isi rumah penengah antara satu daripada empat petunjuk makro bawah Teras 2 Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial dalam dokumen RS-1.