SHAH ALAM, 30 OGOS: Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang dijangka dilancarkan November ini menjadi kerangka penting untuk mendepani cabaran negara menua.
EXCO kebajikan masyarakat berkata dasar itu mengandungi lima teras utama berkaitan sektor ekonomi penjagaan melibatkan kanak-kanak, wanita dan warga emas sekali gus meningkatkan kesejahteraan sosial.
Maklum Anfaal Saari, perancangan tersebut penting kerana Selangor dijangka antara terawal mendepani negeri menua kerana hampir 20 peratus penduduknya berumur 65 tahun ke atas.
“Apabila makin ramai warga usia emas ekonomi akan menjadi perlahan diikuti pula kadar kesuburan negeri yang menurun. Jika kurang warga muda, bagaimana untuk aktifkan ekonomi? Disebabkan itu kita wujudkan dasar ini.
“Kita lihat jika berkaitan warga emas contohnya banyak aktiviti ekonomi boleh dibangunkan termasuklah perkhidmatan penjagaan, peralatan, barangan teknologi dan aplikasi yang memberi peluang kepada syarikat dalam bidang itu menyumbang daripada segi ekonomi,” katanya kepada Selangorkini.
Mengulas lanjut katanya draf pertama dasar berkenaan akan diteliti September ini seterusnya sesi libat urus dengan pemegang taruh akan diadakan bagi mendapatkan maklum balas berkaitan.
“Selain warga emas dasar berkenaan akan turut merangkumi sektor penjagaan lain termasuk kanak-kanak dan wanita,” katanya.
Sebelum ini Anfaal berkata lima elemen penting digariskan dalam kerangka sektor ekonomi penjagaan melibatkan kanak-kanak, wanita dan warga emas di Selangor iaitu advokasi dan promosi, tatakelola dan kawal selia, tenaga kerja dan penjaga terlatih, pelaburan dan kerjasama serta inovasi dan teknologi.