ad
PBT

Sambutan merdeka negeri: Tiga jalan di Shah Alam tutup mulai 3 petang esok

29 Ogos 2024, 12:45 PM
Sambutan merdeka negeri: Tiga jalan di Shah Alam tutup mulai 3 petang esok
Sambutan merdeka negeri: Tiga jalan di Shah Alam tutup mulai 3 petang esok

SHAH ALAM, 29 OGOS: Sebahagian jalan di sekitar bandaraya ini akan ditutup esok bagi memberi laluan kepada penganjuran sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Majlis Bandaraya Shah Alam menerusi Facebook memaklumkan Jalan Persiaran Damai, Persiaran Bandar Raya dan Persiaran Perbandaran ditutup mulai 3 petang esok hingga 2 pagi (31 Ogos).

Jalan sama turut ditutup sejak semalam dan hari ini mulai 4 petang hingga 12 tengah malam bagi memberi laluan kepada raptai sambutan berkenaan.

Sementara itu, lebih 60,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan bertemakan Jiwa Merdeka dengan pelbagai program menarik dianjurkan mulai jam 6 petang.

Pengunjung berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api, laser selain persembahan pasukan polis, tentera dan bomba.

Turut dijadual berlangsung termasuklah selawat dan munajat, perbarisan dan perarakan kontinjen, citrawarna perpaduan serta koir.

Tidak ketinggalan persembahan enam artis iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Roy, Poey Stings, Projektor Band dan kumpulan tarian Zeppo Youngsterz.

Tahun ini logo Malaysia Madani dipilih sebagai logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun kedua berturut-turut, dengan tema sambutan ‘Malaysia Madani – Jiwa Merdeka’.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.