SHAH ALAM, 29 OGOS: Lebih 60,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, esok.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Mohd Yazid Sairi berkata sambutan bermula 8 malam akan dihadiri Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan pimpinan negeri.
Beliau menjelaskan sambutan tahun ini juga menampilkan sedikit kelainan antaranya tambahan perarakan kontinjen daripada 66 kepada 70 selain persembahan taktikal.
"Kita ada persembahan taktikal daripada badan beruniform kerajaan, polis, bomba dan tentera pada malam tersebut. Kita juga bawakan persembahan tradisional dan tarian moden," katanya.
Bercakap pada program Hai Selangor pagi tadi, jelasnya, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan artis terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir.
Sambutan bermula seawal 4.50 petang dengan majlis selawat dan qasidah, disusuli pertunjukan bunga api dan laser, perarakan kereta antik, persembahan puisi selain hadiah motosikal.
"Khusus kita adakan untuk pengunjung kali ini ialah pertandingan teka kacang untuk pengunjung teka berapa jumlahnya dan berpeluang memenangi motosikal Honda ADV 160," kata Mohd Yazid.