ad
PBT

MBSJ sedia laksana pemetaan bawah tanah, kenal pasti kawasan berisiko jerlus

29 Ogos 2024, 11:00 AM
MBSJ sedia laksana pemetaan bawah tanah, kenal pasti kawasan berisiko jerlus
MBSJ sedia laksana pemetaan bawah tanah, kenal pasti kawasan berisiko jerlus

SUBANG JAYA, 29 OGOS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan melakukan pemetaan bawah tanah bagi mengenal pasti kawasan yang berisiko mengalami tanah jerlus.

Timbalan Datuk Bandarnya Mohd Zulkurnain Che Ali berkata pihaknya akan meneliti kawasan berisiko tinggi mengalami bencana tersebut melalui radar imbasan bawah tanah (GPR).

“Kita mengambil iktibar terhadap insiden yang berlaku di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini. Oleh itu kita bercadang melaksanakan pemetaan bawah tanah tetapi ia memerlukan kos yang tinggi.

“Pelaksanaan akan diperinci dalam masa terdekat dan mungkin dari aspek teknologi kita akan selaraskan dengan Kerajaan Negeri dan bekerjasama dengan Koridor Utiliti Selangor (Kusel),” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat di Ibu Pejabat MBSJ di sini hari ini, Mohd Zulkurnain berkata antara lokasi tumpuan termasuklah Puchong dan Seri Kembangan.

“Kita akan meneliti di kawasan berisiko yang dikenalpasti di cerun dan bekas-bekas lombong khususnya di Puchong, Subang Jaya dan Seri Kembangan. Setakat ini (kawasan itu) masih terkawal.

“Namun, bencana ini sukar diramal tetapi sekiranya ada aduan kita akan teliti dan kaji terutama di kawasan yang berisiko tinggi sekitar Subang Jaya,” katanya.

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar berkata penubuhan Kusel sejak empat tahun lalu membantu pentadbiran negeri menyelaras sistem pemetaan utiliti bawah tanah.

Meski melibatkan kos yang tinggi, agensi itu menurut Dato’ Seri Amirudin Shari bertanggungjawab memantau pendaftaran dan penyusunan utiliti bagi mengelak insiden luar jangka.

[caption id="attachment_660104" align="aligncenter" width="815"] Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa terjatuh lalu tertimbus tanah mendap di Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Jumaat lepas, seorang wanita yang juga pelancong dari India hilang selepas terjatuh dalam lubang lapan meter berikutan insiden tanah jerlus di Masjid India pada jam 8.20 pagi.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga, sedang berjalan kaki di kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.