SHAH ALAM, 29 OGOS: Pendaftaran Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) bagi mengasah dan mencungkil bakat kepimpinan wanita terutama di peringkat pembuat keputusan dibuka bermula mulai 2 hingga 22 September ini.
EXCO pembangunan wanita berkata program simulasi sidang Dewan Negeri Selangor itu bertujuan membentuk pemimpin lebih berkualiti, berkemahiran dalam menguasai isu dan dasar penting selain mengamalkan tadbir urus baik.
Anfaal Saari berkata program dengan matlamat mencapai kesaksamaan gender di peringkat pembuatan keputusan dan dasar memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita dan gender, inklusiviti, kebolehcapaian pekerjaan dan kos sara hidup.
[caption id="attachment_660635" align="aligncenter" width="811"] EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari bercakap kepada media selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Wanita Berdaya Selangor dan Khadijah International Waqf Foundation di foyer pusat pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 29 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Turut diberi tumpuan termasuklan undang-undang dan keadilan sosial, demokrasi reformasi institusi, alam sekitar dan perubahan iklim serta ekonomi penjagaan.
“Sasaran akhir program SIWANIS adalah agar 50 peratus Dewan Negeri Selangor diwakili wakil rakyat wanita. Ini merupakan langkah signifikan ke arah meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang politik dan pembuatan keputusan, serta memperkukuhkan suara wanita dalam pelbagai isu kritikal yang mempengaruhi masyarakat,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman program Dana Pembangunan Ekonomi Wanita antara Wanita Berdaya Selangor dan Khadijah International Waqf (L) Foundation.
[caption id="attachment_660632" align="aligncenter" width="814"] EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari (dua, kiri) dan Pengerusi Khafijah International Waqf Foundation Rohani Datuk Mohd Shahir (dua, kanan) menunjukkan dokumen memorandum persefahaman yang dimeterai antara kedua-dua pihak berhubung program Pembangunan Ekonomi Wanita (DEW) di foyer pusat pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 29 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menurutnya, individu yang berminat menyertai SIWANIS boleh mengemukakan permohonan melalui laman sesawang Wanita Berdaya Selangor melalui pautan https://wbselangor.org.my/
“Syarat permohonan termasuk warganegara Malaysia berumur 18 hingga 40 tahun, pengundi di Selangor, fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan bukan alumni SIWANIS 2023.
“Kita sasarkan 120 penyertaan untuk peringkat saringan dan 56 peserta terbaik akan terpilih untuk sesi simulasi Sidang Dewan Negeri,” katanya.