ad
AGENDA

Wanita rugi lebih RM720,000 diperdaya sindiket menyamar pegawai SKMM

29 Ogos 2024, 4:50 AM
Wanita rugi lebih RM720,000 diperdaya sindiket menyamar pegawai SKMM

KUANTAN, 29 OGOS: Seorang setiausaha persatuan amal kerugian RM728,480 selepas terpedaya sindiket penipuan yang menyamar pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pegawai polis.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 38 tahun itu diperdaya kononnya terlibat dengan kes dadah.

Beliau berkata pada 7 Ogos lalu mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar pegawai MCMC menyatakan terdapat laporan dibuat atas nombor telefon wanita berkenaan.

Mangsa kemudian dirujuk kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan dia terlibat dalam kes dadah.

"Suspek meminta mangsa membuat pemindahan wang bagi tujuan siasatan. Dalam tempoh 13 hingga 19 Ogos, mangsa membuat 147 kali transaksi ke dalam 11 akaun bank berbeza sehingga mengalami kerugian RM728,480.

"Sumber kewangan daripada wang simpanan mangsa dan pemberian mendiang ayahnya. Selepas menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya terhadap individu tidak dikenali dan membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.