ad
AGENDA

Tanah jerlus: Operasi SAR hari ketujuh diteruskan di lokasi utama

29 Ogos 2024, 2:01 AM
Tanah jerlus: Operasi SAR hari ketujuh diteruskan di lokasi utama

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Operasi bagi mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini Jumaat lalu, memasuki hari ketujuh hari ini.

Tinjauan di lokasi pada 9 pagi mendapati pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terdiri Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam, sudah bersiap siaga di lokasi untuk meneruskan operasi.

Difahamkan operasi SAR hari ini untuk mencari mangsa insiden tanah jerlus itu menumpukan sekitar lokasi utama kejadian di Jalan Masjid India.

Tinjauan juga mendapati bilangan premis perniagaan sekitar lokasi yang beroperasi berkurangan atas faktor garisan kuning polis dipanjangkan menutupi sepanjang Jalan Masjid India bagi menjaga keselamatan awam.

Pada 23 Ogos, wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India ketika melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota daripada pelbagai pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang menggunakan pelbagai teknik termasuk penggunaan unit anjing pengesan (K9) dan kaedah jetting.

Semalam insiden tanah mendap baharu berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi tanah jerlus terbabit seterusnya Jalan Masjid India ditutup bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.