SUNGAI BULOH, 28 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyeru lebih ramai membayar zakat pendapatan dan zakat perniagaan termasuk dalam kalangan selebriti dan pempengaruh media sosial.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata LZS menyasar untuk mendekati golongan terbabit susulan peningkatan mendadak bilangan pempengaruh media sosial di negara ini.
[caption id="attachment_660515" align="alignleft" width="395"] Ketua Pegawai Esekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini bercakap kepada media selepas Diskusi Zakat di Kedai Kopi (Dizkopi) di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh pada 28 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Sebelum ini ramai yang bayar zakat menerusi penggajian. Tetapi sekarang kita mensasarkan untuk melihat peluang dengan pempengaruh dan usahawan sedia ada.
“Menjadi cabaran kepada kami untuk mendekatkan diri dengan mereka kerana mereka tidak bekerja di bangunan fizikal seperti restoran atau pejabat, tetapi bergerak secara atas talian,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui pada program Dizkopi CEO’s: Diskusi Zakat di Kedai Kopi anjuran LZS di Kebun by Brick & Glass, Kampung Kubu Gajah di sini, hari ini.
Program yang dihadiri pengurusan tertinggi pelbagai agensi itu turut menampilkan Mufti Selangor Dato' Dr Anhar Opir dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Saipolyazan M. Yusop.
Dalam pada itu, Mohd Sabirin berkata program Dizkopi CEO’s: Diskusi Zakat di Kedai Kopi dianjur secara berkala bagi berkongsi pandangan, idea serta kritikan membina berkaitan urus tadbir pengurusan zakat.
“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kepentingan zakat dalam kalangan pemimpin korporat selain membina rangkaian kerjasama strategik antara LZS dan sektor korporat,” katanya.