SUNGAI BULOH, 28 OGOS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menyasar sumbangan zakat lebih RM10 juta pada tahun ini susulan peningkatan prestasi beberapa anak syarikatnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M. Yusop berkata setakat Jun tahun ini, MBI melunaskan bayaran zakat perniagaan sebanyak RM9.4 juta berbanding hanya RM6.7 juta sepanjang tahun lalu.
“Kita tidak meletakkan sasaran kerana ia bergantung kepada prestasi perniagaan. Ada tahun yang kita pernah bayar lebih, dan ada tahun yang kurang seperti ketika wabak Covid-19.
“Kebetulan tahun ini ada anak syarikat kita yang mencatatkan keuntungan baik. Kita jangkakan akan (dapat bayar zakat) lebih RM10 juta sehingga akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Saipolyazan dijemput sebagai ahli panel pada forum santai sempena program Diskusi Zakat di Kedai Kopi anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Kebun by Brick & Glass, Kampung Kubu Gajah di sini, hari ini.
Program yang dihadiri pengurusan tertinggi pelbagai agensi itu turut menampilkan dua lagi ahli panel iaitu Mufti Selangor Dato' Dr Anhar Opir dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.
Dalam pada itu, Saipolyazan berkata hasil perniagaan MBI diagihkan semula kepada masyarakat menerusi skim wakalah atau pengembalian semula wang zakat untuk dimanfaatkan kepada mereka yang memerlukan.
“Sebagai contoh, infrastruktur sekolah kita belanjakan RM3 juta. Apabila ada wakalah, ada wakil zakat dalam jawatankuasa kami, sebahagian daripada bantuan itu kita dapar salurkan terus kepada mereka.
“Kerjasama sebegini, kalau kita dapat perkukuhkan lagi, semakin ramai yang dapat manfaat. Selari dengan hasrat Kerajaan Negeri iaitu tiada sesiapa yang tertinggal,” katanya.