SHAH ALAM, 28 OGOS: Jalan Masjid India ditutup hari ini selepas berlaku mendapan tanah baharu kira-kira 50 meter dari lokasi tanah jerlus.
Bagaimanapun perniagaan di sepanjang jalan itu masih dibuka setakat ini dan polis ditempatkan bagi menghalang orang awam melalui jalan terbabit, lapor New Straits Times.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain melawat lokasi berkenaan bersama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa jam 11.35 pagi.
Terdahulu, Bernama melaporkan kejadian tanah mendap itu dilihat berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Suliezmy Affendy Sulaiman berkata perbincangan sedang dilakukan untuk memperluas penutupan jalan.
Kejadian tanah mendap itu dipercayai berlaku jam 2.30 pagi tadi susulan hujan lebat dan ribut.
Kejadian tanah jerlus Jumaat lalu menyebabkan wanita dikenali Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam hari ini.