ad
AGENDA

Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula, upacara perasmian malam ini

28 Ogos 2024, 3:20 AM
Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula, upacara perasmian malam ini

ANKARA, 28 OGOS: Sukan Paralimpik Paris 2024 akan bermula dengan upacara pembukaan hari ini di ibu negara Perancis, lapor Agensi Anadolu (AA).

Penganjur dalam satu kenyataan memaklumkan upacara pembukaan itu akan diadakan di dataran bersejarah Paris, Place de la Concorde dan Champs-Elysees Avenue.

Seramai 4,400 atlet paralimpik dari 184 delegasi akan berarak di sepanjang dua lokasi itu.

Champs-Elysees yang dipenuhi kafe dan kedai mewah menghubungkan Place de la Concorde dengan Arc de Triomphe, dan perarakan atlet akan diadakan di antara dua tempat itu.

Upacara pembukaan itu akan bermula pada 8 malam waktu tempatan (1800GMT).

Selepas majlis itu, pertandingan akan bermula pada Khamis, dan Sukan Paralimpik tahun ini berlangsung sehingga 8 September. Acara sukan akan diadakan di Paris dan kawasan sekitarnya.

Sukan Paralimpik 2024 menampilkan 22 sukan dan 23 disiplin, termasuk bola sepak buta, boccia, goalball, memanah, olahraga, badminton, kayak,tenis berkerusi roda dan sebagainya.

Sukan itu akan diadakan di 18 lokasi termasuk Stade de France, Stade Roland-Garros, Stadium Menara Eiffel, Pont Alexandre III dan Grand Palais.

Paris menganjurkan Sukan Paralimpik musim panas buat kali pertama.

Ibu negara Perancis itu juga sebelum ini menjadi tuan rumah Sukan Olimpik musim panas pada Julai hingga Ogos.

Sukan Olimpik dan Paralimpik diadakan di bandar dan venue sama sejak 1988.

- BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.