ad
AGENDA

Dua anggota polis tertimbus ketika musnah bom kini stabil

28 Ogos 2024, 2:41 AM
Dua anggota polis tertimbus ketika musnah bom kini stabil

KLUANG, 28 OGOS: Dua anggota polis dari Unit Pemusnah Bom yang parah dipercayai tertimbus ketika menjalankan tugas pemusnahan bom di Taman Sri Lambak di sini semalam, kini berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kedua-dua anggota itu yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) sudah dipindahkan ke wad biasa.

Beliau berkata Koperal Abdul Halim Zainal, 39, dilaporkan patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri, manakala Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, patah tulang peha dan tulang rusuk sebelah kiri.

Bahrin berkata dalam kejadian 2.20 petang itu, kedua-dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dalam penugasan memusnah bom lama jenis Aerial 500 Lbs 1952 yang ditemui orang awam di lokasi kejadian.

“Namun, ketika kerja memusnah bom dijalankan, berlaku runtuhan tanah pada dinding lubang di lokasi sehingga menyebabkan kedua-duanya tertimbus dan cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerja memusnah bom lama berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.