SHAH ALAM, 28 OGOS: Universiti Selangor (Unisel) menjalin kerjasama dengan 13 hospital yang menawarkan biasiswa bernilai lebih RM7 juta kepada kira-kira 97 pelajar pengajian Diploma Kejururawatan.
Presiden dan Naib Canselornya berkata usaha itu dilakukan Unisel dalam meningkatkan kerjasama dengan pihak industri sekali gus memberi nilai tambah kepada bidang pengajian dan kemahiran ditawarkan Unisel.
Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menambah Unisel juga di landasan tepat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan universiti itu fokus kepada latihan teknikal dan vokasional.
“Kerjasama seperti ini akan kita pertingkat dari semasa ke semasa. Dengan kedudukan kampus Unisel di Shah Alam ini, di tengah bandar sesuai untuk program yang bukan saja berkaitan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) tetapi juga kerjasama dengan industri.
“Dalam jangka masa panjang kita melihat kampus ini boleh menjadi kampus yang akan menjalin lebih banyak hubungan kerjasama dengan industri dan mengadakan program kemahiran yang bukan saja memberi impak kepada Selangor tapi negara secara kesleuruhan,” katanya.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 berkata Unisel akan distruktur semula menjadi Universiti Industri Selangor sekali gus memfokuskan sepenuhnya kepada latihan teknikal dan vokasional.
Menurut Amirudin penjenamaan itu dilakukan ke arah mengukuhkan usaha memartabat program TVET bernilai tinggi di negeri ini menjelang 2025.