ad
AGENSI

Sebanyak 6,358 unit Rumah Idaman dijangka siap dalam dua tahun

27 Ogos 2024, 11:25 AM
Sebanyak 6,358 unit Rumah Idaman dijangka siap dalam dua tahun

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sebanyak 6,358 unit Rumah Idaman dijangka siap dan diserahkan kepada pembeli secara berperingkat mulai tahun depan, kata Dato' Menteri Besar.

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, serahan kunci membabitkan 2,912 unit pada 2025, diikuti 3,442 unit lagi pada tahun berikutnya, lapor Sinar Harian.

"Jadi dalam tempoh dua tahun sahaja kita akan serahkan lebih kurang 6,358 unit dan itu menerusi projek perumahan Idaman sahaja," katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah Idaman BSP di Bandar Saujana Putra di sini.

Rumah tersebut, yang terdiri daripada 1,312 unit pangsapuri dua blok dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM375 juta diserahkan kepada pemiliknya hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam menyediakan rumah mampu milik.

Berbekalkan pengalaman luas dalam pembinaan, pihaknya yakin dapat membina Rumah Idaman berkualiti tinggi, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi segmen rumah mampu milik di Selangor.

"Matlamat kami memastikan projek Rumah Idaman akan datang dilancarkan dengan baik, sekali gus dilihat sebagai batu loncatan bagi pertumbuhan berterusan pada tahun akan datang," katanya.

Ketua pegawai eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad pula berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan MGB dalam menjayakan projek perumahan mampu milik kali ini.

"Melalui jalinan kerjasama ini, ia memberi impak besar dalam menyediakan rumah yang berpatutan dan berkualiti tinggi untuk semua,” jelas Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.