ad
AGENDA

Lebih 700 projek rumah sakit dipulihkan kurang dua tahun

27 Ogos 2024, 10:09 AM
Lebih 700 projek rumah sakit dipulihkan kurang dua tahun

Oleh DEWI ABDUL RAHMAN

SEPANG, 27 OGOS: Sebanyak 757 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan bermula akhir 2022 hingga Julai lalu, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM63.27 bilion.

Membabitkan 89,165 unit, timbalan menteri perumahan berkata ia selesai kurang dua tahun selepas penubuhan pasukan petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai pada Disember 2022.

"Bermula Januari sehingga 31 Julai lalu, sejumlah 305 projek melibatkan 35,468 unit perumahan swasta sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan dengan GDV RM23.46 bilion.

"Jumlah projek yang berjaya dipulihkan ini merangkumi 286 projek yang mendapat perakuan siap dan pematuhan (CCC) hasil intervensi yang dilakukan kementerian," kata Datuk Aiman Athirah Sabu.

Ditemui selepas melawat projek perumahan swasta terbengkalai di Taman Desa Anjung Putra hari ini, beliau berkata Selangor merekod jumlah projek sakit tertinggi diiikuti Pahang, Perak dan Johor.

Dalam pada itu, jelasnya, penantian 18 pemilik kediaman di Taman Desa Anjung Putra, Sepang selama 12 tahun berakhir selepas projek tersebut bakal memperoleh CCC bulan depan.

"Projek ini sepatutnya siap pada Disember 2012, namun semasa disahkan terbengkalai kemajuan mencapai 97.50 peratus. Kita sedia maklum (ketika itu) memang tidak akan terima CCC.

"Pemaju tidak berjaya memperoleh CCC dalam tempoh ditetapkan kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan agensi teknikal dan Majlis Perbandaran Sepang," katanya lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.