ad
BERITA UTAMA

Tiga teras bina kekayaan baharu Bumiputera

27 Ogos 2024, 2:00 AM
Tiga teras bina kekayaan baharu Bumiputera
Tiga teras bina kekayaan baharu Bumiputera

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan legasi perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dalam mengangkat ekonomi Bumiputera dan menyusun pembangunan negara.

Jika Abdul Razak dikenali kerana Dasar Ekonomi Baharu pada 1970, Anwar pula memperkenal Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

“Maka itulah kebijaksanaan pemimpin lalu khususnya almarhum Tun Abdul Razak tatkala merangka Dasar Ekonomi Baru.

“Tapi pimpinan dan juga masa beredar yang menuntut generasi penerus memikir langkah-langkah berikut yang harus dijamin lebih berkesan,” kata Anwar dalam ucapan peluncuran pelan itu pada 19 Ogos.

PuTERA35 hasil Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 wadah Kerajaan Perpaduan memperkasa dan menyusun semula pembangunan ekonomi Bumiputera seiring peredaran zaman.

Tiga matlamat pelan berkenaan melibatkan sektor awam, swasta, pemain industri, akademik, wakil pertubuhan masyarakat sivil serta pemimpin masyarakat termasuk bukan Bumiputera iaitu:-

- bangunkan Bumiputera bercirikan dinamik dan futuristik yang mampu mendepani isu serta cabaran semasa dan yang akan datang

- tetapkan sasaran lebih jelas bagi mengukur tahap penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera yang lebih bermakna

- bangunkan mekanisme pemantauan lebih berkesan melalui penetapan pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan setiap ikhtiar

PuTERA35 yang dipantau Majlis Ekonomi Bumiputera menekankan penyertaan Bumiputera dalam sektor pertumbuhan bernilai tinggi (HGHV) berasaskan teknologi termaju. Fokus terarah kepada penyelidikan dan pembangunan inovasi dalam kalangan anak watan.

Ia dijayakan dalam tempoh 10 tahun membabitkan jangka masa pendek antara 2024 hingga 2026 menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK 13).

Bagi jangka masa sederhana dari 2024 hingga 2030, pelan dilaksana dalam RMK 13 hingga Kajian Separuh Penggal RMK 13. Jangka masa panjang antara 2024 hingga 2035 pula menerusi RMK 13 dan Rancangan Malaysia ke-14.

Penunjuk pencapaian

Terdapat sembilan penunjuk pencapaian PuTERA35 menjelang 2035 iaitu:

- 70 peratus penyertaan Bumiputera dalam pekerjaan mahir

- 30 peratus pemilikan ekuiti dan agensi mandat Bumiputera

- 20 peratus penyertaan dan penguasaan Bumiputera melalui ekuiti syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan

- sifar peratus kemiskinan tegar Bumiputera

- 0.9:1 nisbah gaji dan upah penengah bulanan Bumiputera kepada Cina

- 0.9: 1 nisbah pendapatan penengah bulanan Bumiputera kepada Cina

- 97 peratus siswazah Bumiputera dalam tenaga kerja

- 75 peratus isi rumah Bumiputera memiliki seunit kediaman

- 15 peratus sumbangan perusahaan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar

Bagi mencapai sasaran, pelaksanaan pelan membabitkan tiga teras, 12 pemacu dan 132 ikhtiar.

Teras 1 memperkukuh pasak ekonomi negara melalui lima pemacu dan 71 ikhtiar termasuk penggubalan pelan induk bersepadu tanah rizab Melayu dan tanah wakaf – aset penting menjana kekayaan Bumiputera dengan meningkatkan pemilikan rumah.

Teras 2 pula memperteguh kerukunan tatakelola dan institusi. Ia ada tiga pemacu melalui 20 ikhtiar. Sebahagian ikhtiar ialah mewujudkan Suruhanjaya Ekonomi Gig dan mensyaratkan kementerian dan agensi membeli cenderahati keluaran pengusaha seni tempatan.

Teras 3 menegakkan keadilan sosial melibatkan empat pemacu dan sebanyak 41 ikhtiar dijalankan bawah teras itu. Ia termasuk meminda perlembagaan persekutuan meletakkan pembangunan Orang Asli bawah senarai tiga – tanggungjawab bersama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.