ad
AGENDA

Terbuka Jepun: Benam juara dunia, beregu lelaki tamatkan kemarau 22 tahun

25 Ogos 2024, 5:11 AM
Terbuka Jepun: Benam juara dunia, beregu lelaki tamatkan kemarau 22 tahun

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani merangkul kemenangan sulung mereka musim ini, selepas menundukkan juara dunia dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada Terbuka Jepun 2024 hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Yokohama Arena pasangan kini di kedudukan ke-12 dunia itu yang pada mulanya ketinggalan, berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan 15-15 sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-19.

Set kedua menyaksikan Sze Fei-Nur Izzudin meneruskan momentum kemenangan untuk terus mendominasi perlawanan sebelum mengakhiri saingan dengan 21-15, untuk menjuarai kejohanan berstatus Super 750 itu dan membawa pulang hadiah wang kemenangan US$62,900 (RM274,000).

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau 22 tahun kejuaraan beregu lelaki negara pada Terbuka Jepun, selepas kali terakhir dimenangi menerusi gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pada 2002.

Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan untuk menerima permohonan Sze Fei-Nur Izzuddin bergerak secara profesional bermula 1 September ini.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.