KUCHING, 23 OGOS: Skuad bola keranjang Selangor menutup tirai saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan prestasi cemerlang apabila menyapu dua pingat emas acara 3x3 lelaki dan wanita hari ini.
Pada aksi final di Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, Selangor yang dibarisi Loke Chun Yang, Yap Jin Xi, Chong Zhen Yang dan Leong Zhen Yang mengatasi Johor 21-8 untuk menambah koleksi emas kontinjen Selangor.
Pingat gangsa dimenangi Pulau Pinang selepas menewaskan Melaka 13-12.
Dalam aksi wanita pula, Wong Chah Yee, Elaine Chong Hui Lin,Yun Jia Huey dan Emily Tan Qiyi menewaskan Johor 21-11 untuk emas kedua.
Negeri Sembilang pulang dengan gangsa selepas menewaskan Sabah 16-11.
Bola Keranjang menawarkan empat pingat emas pada temasya kali ini.
- BERNAMA