ad
BERITA UTAMA

Selangor hargai ibu bekerja, lebih 4,000 dapat insentif RM1,000

23 Ogos 2024, 3:50 AM
Selangor hargai ibu bekerja, lebih 4,000 dapat insentif RM1,000

SHAH ALAM, 23 OGOS: Seramai 4,417 ibu bekerja menerima insentif MamaKerja berjumlah RM1,000 bagi meringankan kos penjagaan anak setakat Ogos ini, kata EXCO pembangunan keluarga.

Anfaal Saari menjelaskan pihaknya juga menerima lebih 7,000 permohonan sepanjang tahun ini, namun sebahagian terpaksa ditolak berikutan tidak memenuhi syarat ditetapkan.

“Kita terima banyak permohonan, kira-kira 3,000 ditolak kerana tidak memenuhi kriteria utama.

“Sejak dilancar tahun lalu, sebanyak 15,194 permohonan diproses. Bagaimanapun, kita teliti segala aspek sebelum beri kelulusan,” katanya ketika dihubungi.

Inisiatif MamaKerja yang dibuka bermula 1 November tahun lalu antara manifesto Kerajaan Perpaduan yang ditawar kepada rakyat Selangor dalam pilihan raya negeri pada Ogos 2023.

Melibatkan peruntukan RM5 juta, skim tersebut memanfaatkan 5,000 wanita bekerja yang memiliki tiga anak bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000.

Syarat kelayakan lain seperti berikut:

  • Wanita bekerja dan bermajikan
  • Rakyat Selangor (lahir di Selangor atau bermastautin di Selangor melebihi 10 tahun)
  • Mengundi di Selangor
  • Berpendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah
  • Individu yang mempunyai akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Bukan penerima bantuan Asuh Pintar, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Tunas

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.