ad
BERITA UTAMA

EXCO: Selangor mula gerak persiapan jadi tuan rumah SUKMA 2026

22 Ogos 2024, 8:10 AM
EXCO: Selangor mula gerak persiapan jadi tuan rumah SUKMA 2026

KUCHING, 22 OGOS: Selangor akan memulakan gerak kerja bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sebaik temasya sukan dwitahunan negara di Sarawak melabuhkan tirai.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata program pembangunan dan latihan atlet negeri akan ditingkatkan termasuk persiapan awal menjadi tuan rumah SUKMA edisi ke-22.

“Balik dari Sarawak kita akan mula gerak kerja bukan sahaja sebagai penganjur tetapi untuk kita bangunkan atlet dengan melihat kepada prestasi atlet di sini (Sarawak).

“Kelemahan dan kekuatan atlet akan terus dikenal pasti sebelum menggarap program pembangunan atlet untuk persiapan ke SUKMA 2026,” katanya ditemui di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak di sini hari ini.

Mengulas pencapaian di SUKMA Sarawak setakat ini, beliau berkata Selangor berada di landasan betul untuk berada kedudukan tiga terbaik berdasarkan pungutan pingat semasa.

“Kita telah berada kedudukan tiga teratas cuma kita perlu pastikan atlet sentiasa fokus dan memberikan yang terbaik sepanjang kejohanan berbaki lebih kurang tiga hari lagi.

“Hari ini ada beberapa lagi perlawanan akhir seperti ragbi, tinju termasuk akuatik dan olahraga yang menawarkan pingat emas. Doakan mudah-mudahan atlet terus fokus,” katanya.

Pada 18 Julai, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia memutuskan Selangor bakal menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2026.

Ia selepas tawaran dibuat Selangor untuk menggantikan Majlis Sukan Negara (MSN) yang sepatutnya menjadi penganjur berdasarkan sistem giliran tuan rumah SUKMA yang ditetapkan secara berselang-seli.

Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada 1998.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.