ad
AGENDA

Bola tampar: Selangor atasi Sarawak, rebut pingat emas Jumaat ini

21 Ogos 2024, 12:07 PM
Bola tampar: Selangor atasi Sarawak, rebut pingat emas Jumaat ini

SIBU, 21 OGOS: Selangor meleburkan harapan juara bertahan Sarawak untuk melangkah ke peringkat akhir bola tampar lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Bola Tampar Taman Rejang di sini hari ini.

Anak-anak didik jurulatih Shamsaimon Mohd Sharit itu yang tewas 23-25 di set pertama bangkit dengan permainan yang lebih kemas di set yang kedua untuk menang 25-15.

Pasukan tuan rumah yang dilatih Pang Sii Chuong menunjukkan permainan lebih mantap pada set ketiga namun tewas 21-25 berikutan kekebalan pertahanan Selangor yang turut membuat rejaman dan sentuhan lebih bagus.

Pasukan itu yang kelihatan positif dan terus berjuang habis-habisan di set keempat gagal mengheret permainan ke set yang kelima apabila disekat Selangor dengan mata penyudah 25-21.

“Saya telah memberitahu pasukan bahawa setiap perlawanan adalah final dan mereka perlu bermain berhabis-habisan. Mereka tiada pilihan lain selain menang,” kata Shamsaimon selepas perlawanan itu.

Beliau turut mengingatkan anak-anak buahnya bahawa Sarawak mempunyai kelebihan sendiri lebih-lebih lagi bermain di hadapan penyokong sendiri dan semangat mereka untuk menang adalah sangat kuat.

Shamsaimon turut lega kerana pasukannya tidak membuat kesilapan yang banyak sehingga menyebabkan mereka boleh dihukum oleh pasukan Sarawak.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir Wilayah Persekutuan menewaskan Johor 3-0 (25-23, 25-16, 25-23) untuk bertemu Selangor di perlawanan penentuan pingat emas Jumaat ini.

Johor akan bertemu Sarawak esok bagi menentukan tempat ketiga dan keempat.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.