ad
AGENDA

Jenazah Cikgu Istiqomah selamat dikebumikan di Pasir Mas

19 Ogos 2024, 4:20 PM
Jenazah Cikgu Istiqomah selamat dikebumikan di Pasir Mas

PASIR MAS, 19 OGOS: Jenazah guru Istiqomah Ahmad Rozi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas di sini pada 11.50 malam tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dituntut ahli keluarganya di Unit Forensik Hospital Melaka dibawa ke kediamannya di Kampung Kubang Badak untuk disolatkan.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri anggota keluarga, saudara-mara, rakan dan penduduk kampung.

Adik Allahyarham, Muhammad Irfan Ahmad Rozi, 31, berkata jenazah dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan bagi menunaikan hasrat Allahyarham Istiqomah sebelum ini yang mahu pulang ke kampung.

Menurutnya, dia kali terakhir menemui kakaknya itu ketika Hari Keluarga di Pantai Morib, Kuala Selangor pada 24 dan 25 Disember tahun lalu.

"Kami hanya dua beradik, sangat rapat dan arwah sangat gembira ketika berkumpul memandangkan dia tidak sempat balik bercuti pada Aidilfitri lepas.

"Saya masih teringat lambaian terakhir dan kata-kata kak long yang mahu berjumpa semula pada hari raya akan datang, namun hasrat itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Bapa saudara Allahyarham, Sukiman Ya, 53, berkata Istiqomah seorang pendiam dan serius tetapi mempunyai tingkah laku yang baik.

"Saya jaga arwah sejak kecil, bawa naik basikal dan hantar ke sekolah, sebab itu saya sangat sedih sebaik diberitahu mengenai kematiannya,” katanya.

Istiqomah, 33, dilaporkan hilang di Kota Masai, Johor pada 27 Disember 2023 sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan tragis di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember 2023.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.