KLANG, 18 OGOS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) membuka Taman Kucing @ Bandar Bukit Raja yang pertama di daerah itu dengan kos pembinaan RM800,000.
Datuk Bandarnya Datin Paduka Noraini Roslan berkata pembinaan taman seluas 200 ekar (80.9371 hektar) turut mendapat kerjasama daripada Sime Darby Property.
"Kewujudan taman kucing pertama di Klang ini bagi menangani isu kacau ganggu yang berlaku disebabkan populasi kucing terbiar yang semakin meningkat ketika ini.
[caption id="attachment_658429" align="alignleft" width="512"] DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bermesra dengan kucing dan pengunjung ketika Perasmian Taman Kucing Klang di Bandar Bukit Raja Klang pada 18 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
"Justeru, kami berbesar hati menjalin usaha bersama Sime Darby Property bagi mewujudkan taman ini sekali gus menjadikan ia sebagai tempat selamat dan penuh kasih sayang untuk kucing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Perasmian Taman Kucing @ Bandar Bukit Raja, Klang, di sini hari ini.
Terdahulu, majlis tersebut disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Dalam perkembangan sama, Noraini berkata taman kucing itu dilengkapi dengan kemudahan bilik isolasi, bilik rawatan, rumah kucing, kawasan bermain, kamera litar tertutup dan pejabat urusan.
[caption id="attachment_658428" align="alignright" width="486"] Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan ketika Perasmian Taman Kucing Klang di Bandar Bukit Raja Klang pada 18 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Jelasnya, orang awam juga dipelawa memberi sumbangan sama ada dalam bentuk makanan atau pasir kucing bagi bersama membantu MBDK memelihara kucing jalanan.
"Taman yang mampu memuatkan 150 ekor kucing dalam satu-satu masa ini juga diletak di bawah pengendalian satu klinik panel veterinar bagi memastikan tahap kesihatan kucing itu sentiasa sihat.
"Kita berharap ia memberi impak positif kepada masyarakat betapa pentingnya memiliki rasa kasih sayang terhadap haiwan sekali gus mempergiat usaha ke arah mengurangkan haiwan terbiar," katanya.