ad
AGENDA

PRK Nenggiri: 71.87 peratus keluar mengundi takat 4 petang

17 Ogos 2024, 9:16 AM
PRK Nenggiri: 71.87 peratus keluar mengundi takat 4 petang

GUA MUSANG, 17 OGOS: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mencecah 71.87 peratus setakat 4 petang ini.

Angka itu melebihi jangkaan 60 peratus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malah lebih tinggi daripada yang dicatatkan pada Pilihan Raya Negeri ke-15, Ogos tahun lalu, iaitu 61.09 peratus.

Enam daripada 20 pusat mengundi telah ditutup dan selebihnya akan ditutup 6 petang ini.

Pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai ditutup 2 petang tadi manakala pusat mengundi di Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat menamatkan operasi sejam kemudian.

SPR sebelum ini menjangkakan keputusan penuh PRK itu diumumkan seawal 9 malam di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.

Proses pengundian melibatkan 20,216 pengundi biasa daripada keseluruhan 20,259 pengundi berdaftar, manakala 43 kertas undi pos telah dikeluarkan sebelum ini untuk individu yang bertugas sepanjang PRK termasuk anggota polis.

PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dengan wakil Perikatan Nasional Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.