SHAH ALAM, 15 OGOS: Dato’ Menteri Besar menerima undangan sarjana Islam Indonesia, Prof Dr KH Said Aqil Sirodj dalam program bual bicara dan silaturahim di Pondok Pesantren Luhur Al-Tsaqafah, Jakarta Selatan, Indonesia semalam.
Dalam program berlangsung kira-kira dua jam itu Dato’ Seri Amirudin Shari berkongsi mengenai usaha memartabat syiar Islam dan keharmonian beragama yang dicapai di negara ini.
Amirudin turut menjawab beberapa soalan pelajar sekolah pondok berkenaan antaranya mengenai bagaimana sistem pendidikan Islam dikembangkan di Malaysia.
Sebelum ini Amirudin pernah berkongsi, Dr KH Said Aqil merupakan nama besar dalam membawa konsep Islam Nusantara dalam memperkukuh umat Islam di rantau ini.
Tokoh agama itu juga pernah menyampaikan syarahan perdana bertajuk Kepentingan Kitab Turath Dalam Sejarah Nusantara dan Masa Kini sempena Festival Turath Islami Selangor di masjid negeri Mei lalu.
Dalam program bual bicara di Jakarta itu Dr KH Said Aqil turut memuji inisiatif Selangor menyemarak keilmuan turath dengan mengkaji dan menterjemah kitab warisan.
Terdahulu Amirudin dalam sesi itu berkongsi sifat saling menghormati dan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbeza agama di negara ini membolehkan keharmonian beragama dicapai di Malaysia.
Katanya nilai akhlak dan ihsan yang diterapkan dalam Islam sebagai contoh dipraktikkan bagi mencapai keamanan hidup beragama.
“Nabi Muhammad secara asasnya dakwah bukan dimulakan dengan pedang atau perang tetapi dimulakan dengan akhlak Rasulullah, akhlak yang tinggi dan terpuji.
“Akhlak itu berkait dengan ihsan. Rata-rata orang Melayu menyebut ihsan itu seperti belas kasihan, sedangkan perkataan itu lebih besar maknanya kerana ia merangkumi akhlak, tingkah laku yang menjadi asas dalam kehidupan umat Islam,” katanya.
Jelasnya lagi sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia juga pemangkin keutuhan negara dan keharmonian rakyat dalam kehidupan beragama sekali gus mempertahan syiar Islam.
“Di Malaysia sistem kita adalah sistem Raja Berperlembagaan iaitu Raja menjadi ketua agama (Islam). Dengan di sampingnya ada mufti dan ulama yang menasihati Raja.
“Bagi sistem pendidikan Islam di Malaysia pula, ia lebih tersusun kemas dengan kurikulum dan silibus yang ditetapkan pemerintah berbanding di Indonesia (sistem pendidikan Islam dibangun dengan semula jadi menerusi komuniti). Namun kedua-dua ini ada ruang kekurangan dan kelebihan yang boleh ditambah baik,” katanya.
[embed]https://www.youtube.com/live/vjAs9LSEnuY[/embed]