ad
AGENDA

Liga Super: Jaringan Harith Haiqal bantu Selangor raih tiga mata di Likas

14 Ogos 2024, 12:15 AM
Liga Super: Jaringan Harith Haiqal bantu Selangor raih tiga mata di Likas

KOTA KINABALU, 13 OGOS: Sabah FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas di sini malam ini.

Kedua-dua pasukan bermula agak perlahan dengan tiada serangan berbahaya yang dihadapi penjaga gol Sabah FC Khairul Fahmi Che Mat mahupun penjaga gol pasukan pelawat Samuel Somerville.

Bagaimanapun, pada minit ke-27, pasukan tuan rumah berjaya merobek gawang Selangor hasil gol sendiri pemain pertahanan Gergasi Merah Safuwan Baharudin yang tertampan lorongan daripada Jefri Chew di dalam kawasan kotak penalti.

Selangor di bawah kendalian Mohd Nidzam Jamil berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan penyerang import Roni Fernandez pada minit ke-31 ekoran kesilapan barisan pemain pertahanan Sabah.

Bermula babak kedua, tempo permainan semakin rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Selangor berjaya mendapatkan gol kemenangan hasil rembatan Harith Haiqal di dalam kotak penalti pada minit ke-86 bagi membolehkan pasukan pelawat membawa pulang tiga mata berharga.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.