ad
AGENDA

Suspek kes samun maut ditembak, miliki enam rekod jenayah

13 Ogos 2024, 3:35 PM
Suspek kes samun maut ditembak, miliki enam rekod jenayah

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Seorang lelaki yang mempunyai enam rekod jenayah samun ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di susur masuk ke Tol Sungai Balak, Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) dekat Kajang, Selangor petang tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam kejadian 3 petang itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang sedang membuat rondaan di lokasi menahan kereta jenis Perodua yang dipandu lelaki terbabit.

Bagaimanapun, Hussein berkata lelaki berumur pertengahan 30-an itu enggan memberhentikan kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah polis.

“Polis membalas tembakan dan suspek dipercayai mati terkena tembakan dalam kejadian itu.

“Dalam kejadian itu juga, seorang anggota polis berusia 30-an turut terkena tembakan, namun terselamat kerana mengenai baju kalis peluru yang dipakai,” katanya ketika dihubungi.

Hussein berkata semakan mendapati lelaki warga tempatan itu dipercayai terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang beberapa bulan lalu.

Beliau berkata kertas siasatan berhubung kejadian dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.