ad
PBT

Medan selera terbakar siap dibersih, peniaga bayar sewa tapak mulai Oktober

13 Ogos 2024, 7:42 AM
Medan selera terbakar siap dibersih, peniaga bayar sewa tapak mulai Oktober

SHAH ALAM, 13 OGOS: Medan selera Jalan AU5 Taman Lembah Keramat yang terjejas akibat kebakaran dua minggu lalu selesai dibersihkan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad berkata kerja pembersihan sehingga Ahad lalu menelan kos hampir RM15,000.

“Peniaga kini boleh berniaga di tapak sementara berhampiran medan selera terbakar. Tapak sementara ini merupakan kawasan parkir dan tidak mengganggu lalu lintas.

“Untuk tiga bulan pertama ini mereka tidak dikenakan sebarang bayaran dan hanya mula membayar sewa tapak RM310 sebulan yang akan dikutip bermula Oktober nanti,” katanya kepada Selangorkini.

Ani turut mengingatkan semua peniaga supaya menjaga kebersihan tapak sementara dan tidak meninggalkan sebarang kelengkapan gerai jualan.

“Mereka kini berniaga sebagai penjaja dan tidak boleh membuka meja serta kerusi. Oleh itu, mereka perlu mengemas semula tapak dan tidak meninggalkan apa-apa barangan,” katanya.

Pada 27 Julai lalu, 12 lot gerai di medan selera AU5 Taman Lembah Keramat hangus dalam kebakaran sehingga memusnahkan 80 peratus premis.

Kebakaran dikatakan berpunca daripada kebocoran gas di salah satu lot namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.