ad
ADN

Medan selera terbakar: Peniaga beroperasi di tapak sementara minggu depan

11 Ogos 2024, 11:11 AM
Medan selera terbakar: Peniaga beroperasi di tapak sementara minggu depan
Medan selera terbakar: Peniaga beroperasi di tapak sementara minggu depan

AMPANG JAYA, 11 OGOS: Kesemua 12 peniaga di Medan Selera AU5 Lembah Keramat yang terbakar dua minggu lalu akan memulakan operasi di tapak sementara bermula minggu depan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang berkata kelulusan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu mampu memberi kelegaan kepada peniaga.

Menurut Juwairiya Zulkifli, pihaknya dan MPAJ telah menyantuni dan mengadakan sesi dialog golongan terlibat sebanyak tiga kali sejak kejadian tersebut.

"Saya kagum dengan kecekapan MPAJ dalam menguruskan perkara ini dalam tempoh dua minggu. Malah, perkara ini turut mendapat perhatian Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari yang sudi memberikan sumbangan RM10,000 kepada setiap peniaga.

"Sudah pasti kejadian ini membuat peniaga sedih kerana medan selera menjadi punca rezeki tetapi kini mereka dibenarkan berniaga di tapak sementara pada minggu hadapan. Diharap dengan usaha ini menjadi titik baharu dalam kehidupan dan perniagaan mereka," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bantuan bencana yang disempurnakan Amirudin yang juga ahli parlimen Gombak di Dewan Serbaguna MPAJ AU5 di sini hari ini.

[caption id="attachment_657230" align="alignnone" width="884"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima bantuan ketika Majlis Serahan Bantuan Bencana kepada peniaga di Dewan MPAJ AU5, Lembah Keramat pada 11 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Juwairiya turut memaklumkan beliau akan menjadi pengantara atau orang tengah di antara MPAJ dan peniaga berhubung pembinaan semula medan selera tersebut.

"Semua pihak akan bekerjasama rapat dan saya akan menjadi orang tengah antara pihak berkuasa dan peniaga kerana mereka semua adalah pengundi di Hulu Kelang," katanya.

Pada 27 Julai lalu, 12 lot gerai di Medan Selera AU5 Lembah Keramat hangus dalam kebakaran sehingga memusnahkan 80 peratus premis.

Kebakaran dikatakan berpunca daripada kebocoran gas di salah satu lot namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.