ad
AGENDA

Dua angkasawan mungkin terkandas di ISS sehingga 2025, kapal angkasa hadapi masalah

8 Ogos 2024, 9:13 AM
Dua angkasawan mungkin terkandas di ISS sehingga 2025, kapal angkasa hadapi masalah

NEW YORK, 8 OGOS: Dua angkasawan yang terkandas di angkasa mungkin tidak dapat kembali ke bumi sehingga 2025 disebabkan masalah yang dihadapi kapsul Starliner baharu Boeing, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Kedua-dua anak kapal Starliner, angkasawan AS Barry Wilmore dan Sunita Williams kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak Jun, walaupun pada awalnya mereka hanya dijadualkan berada di stesen itu selama seminggu.

Selepas dilancarkan dari pusat angkasa lepas Cape Canaveral di Florida, kapal angkasa itu hanya dapat berlabuh dengan ISS pada percubaan kedua kerana masalah enjin.

Kapal angkasa itu turut mengalami kebocoran helium.

NASA memaklumkan dua pilihan bagi membawa pulang angkasawan ke bumi sedang dibincangkan.

Pilihan pertama melibatkan pasangan itu kembali dengan Starliner. Bagaimanapun, kapal angkasa itu perlu diperbaiki terlebih dahulu.

Pilihan kedua adalah menangguhkan dua daripada empat angkasawan dari misi SpaceX Crew 9, yang dijadual dilancarkan pada September. Wilmore dan Williams kemudian boleh kembali ke bumi bersama kru pada Februari.

Keputusan muktamad mengenai perkara itu akan diputuskan selepas NASA menyelesaikan semakan kesediaan pelancaran peringkat tertinggi.

- BERNAMA-dpa

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.