ad
AGENDA

Mohamad hadiri mesyuarat tergempar OIC bincang jenayah Israel

7 Ogos 2024, 12:55 AM
Mohamad hadiri mesyuarat tergempar OIC bincang jenayah Israel

PUTRAJAYA, 7 OGOS: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif di Peringkat Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Rabu (7 Ogos) di Jeddah, Arab Saudi.

Kementerian Luar Negeri, dalam satu kenyataan pada Selasa berkata mesyuarat itu yang diusulkan oleh Palestin dan Iran, akan membincangkan jenayah kependudukan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan serta ancaman Israel terhadap kedaulatan Iran.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Gambia sebagai pengerusi Sidang Kemuncak OIC ke-15.

Penyertaan Mohamad dalam mesyuarat itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan besar-besaran di Semenanjung Gaza oleh rejim Israel termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran, menurut kenyataan itu.

Ia juga menandakan komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Malaysia menyokong penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Selain itu, Malaysia menyokong kemasukan Negara Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai anggota penuh, menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.