ad
AGENDA

Anwar ucap tahniah Zii Jia menang gangsa Olimpik, pamer aksi memukau

5 Ogos 2024, 2:21 PM
Anwar ucap tahniah Zii Jia menang gangsa Olimpik, pamer aksi memukau

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, kerana berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024, malam ini.

“Tahniah Lee Zii Jia! Satu lagi persembahan memukau yang menghadirkan pingat gangsa kedua untuk negara!” katanya menerusi ciapan di platform X malam ini.

Ini merupakan pingat kedua buat negara pada Sukan Olimpik Paris 2024, selepas kejayaan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut menang pingat gangsa, semalam.

Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia, meraih pingat gangsa menerusi aksi cemerlang menentang Lakshya Sen dari India, dengan bangkit daripada ketinggalan satu set dengan kemenangan 13-21, 21-16, 21-11 pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, Paris.

Pada Ahad petang, Zii Jia yang berusia 26 tahun terpaksa akur dengan kekalahan 14-21, 15-21 kepada juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.