ad
AGENDA

Ayuh sertai Himpunan Pembebasan Palestin di Axieta Arena Ahad ini

2 Ogos 2024, 3:50 AM
Ayuh sertai Himpunan Pembebasan Palestin di Axieta Arena Ahad ini

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Orang ramai dijemput menyertai Himpunan Pembebasan Palestin diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada hari Ahad ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook berkata perhimpunan yang dijadual berlangsung pada pukul 8 malam itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua dijemput hadir! Himpunan Pembebasan Palestin dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Axiata Arena, Bukit Jalil. Kita jumpa Ahad ini!” katanya.

Semalam Perdana Menteri berkata perhimpunan tersebut adalah antara tindakan bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dan menyokong Palestin.

Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di utara Tehran pada kira-kira 2 pagi waktu Iran, 31 Julai lepas.

Beliau berada di ibu negeri Iran itu untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian.

Pada 24 Oktober tahun lepas, Himpunan Malaysia Bersama Palestin pernah diadakan di Axiata Arena yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.