ad
AGENDA

Jakim adakan solat jenazah ghaib buat pemimpin Hamas Ismail Haniyeh

31 Jul 2024, 5:49 AM
Jakim adakan solat jenazah ghaib buat pemimpin Hamas Ismail Haniyeh
Jakim adakan solat jenazah ghaib buat pemimpin Hamas Ismail Haniyeh

SHAH ALAM, 31 JULAI: Seluruh masjid bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat jenazah ghaib berikutan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dibunuh dalam serangan udara Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata arahan dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Datuk Mohd Ajib Ismail.

"Saya kini berada di Kaherah dan arahan telah dibuat. Kita dapatkan maklumat dulu. Jika dah dimandikan, saya minta semua masjid Jakim dan Jawi untuk mengadakan solat ghaib," kata Datuk Mohd Na'im Mokhtar kepada Sinar Harian.

Terdahulu, agensi berita antarabangsa melaporkan Ismail terbunuh dalam serangan udara Israel, yang menyasar kediamannya di Tehran dan turut menyebabkan seorang pegawainya syahid.

Televisyen Iran juga melaporkan kematian ketua biro politik Hamas itu, menyatakan siasatan mengenai pembunuhan terbabit sedang dijalankan dan keputusan akan diumumkan kelak.

Ismail berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu republik Islam itu Masoud Pezeshkian pada Selasa.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.