ad
AGENDA

Perkampungan sukan Unimas sedia terima atlet sempena SUKMA 2024

30 Jul 2024, 7:48 AM
Perkampungan sukan Unimas sedia terima atlet sempena SUKMA 2024

KUCHING, 30 JULAI: Kampus Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan di sini yang dijadikan salah sebuah perkampungan sukan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dari 17 sehingga 24 Ogos ini sudah bersedia menerima ketibaan atlet.

Naib Canselor Unimas Prof Dr Ahmad Hata Rasit berkata selain penginapan, Unimas turut menyediakan tempat latihan, kemudahan kesihatan dan penjagaan keselamatan sepanjang tempoh atlet berkampung di situ.

“Ada lapan kolej kediaman di kampus barat yang boleh menampung sejumlah 8,000 atlet termasuk jurulatih dan pegawai terlibat.

“Persediaan kediaman yang selesa amat penting agar atlet dapat memberi tumpuan dan ini diharap memberi semangat kepada mereka untuk menang dalam pertandingan,” katanya.

Ahmad Hata berkata selaku tuan rumah, beliau berharap kontinjen Sarawak mampu memperolehi kemenangan dan muncul sebagai juara.

SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini mengetengahkan 37 jenis sukan melibatkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita.

Sarawak pernah menjadi tuan rumah sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.