ad
ADN

Peluang jalani saringan kesihatan percuma di Kampung Tunku Sabtu ini

30 Jul 2024, 4:00 AM
Peluang jalani saringan kesihatan percuma di Kampung Tunku Sabtu ini
Peluang jalani saringan kesihatan percuma di Kampung Tunku Sabtu ini

SHAH ALAM, 30 JUL: Orang ramai berpeluang mendapat saringan kesihatan secara percuma menerusi program Selangor Saring di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) SS3, Sabtu ini.

Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, saringan yang bermula 8 pagi hingga 2 petang menyediakan ujian jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan barah.

Lim Yi Wei berkata selain itu orang ramai turut berpeluang menjalani pemeriksaan gigi, telinga, mata dan fisioterapi.

“Jom ramai-ramai berkunjung program saringan kesihatan di kawasan Kampung Tunku.

“Ambil peluang ini untuk melakukan saringan kesihatan percuma bagi pemeriksaan fizikal, darah, urin, barah, mata, gigi dan lain-lain,” katanya di Facebook.

Yi Wei menyarankan orang ramai mendaftar program Selangor Saring menerusi empat langkah berikut:

  • memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)
  • tekan butang Selangor Saring
  • isi borang soal selidik
  • pilih lokasi dan tarikh program

Menurutnya, ujian saringan ditawarkan berdasarkan penilaian faktor risiko individu melalui borang saringan awal di aplikasi SELangkah.

"Mereka yang mempunyai masalah pendaftaran boleh menghubungi Selcare di talian 1800-22-6600," katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.

Sepanjang bulan ini, saringan kesihatan percuma itu telah diadakan di DUN Paya Jaras, Dengkil, Sungai Tua, Batu Tiga dan Pandamaran.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.