ad
AGENDA

Dua anggota polis ditahan bantu siasatan kes pemerasan wang

29 Jul 2024, 9:45 AM
Dua anggota polis ditahan bantu siasatan kes pemerasan wang

SHAH ALAM, 29 JULAI: Dua anggota polis ditahan dipercayai melakukan pemerasan wang terhadap warga asing di Jalan Taming Sari, Kajang, Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tangkapan dilakukan selepas polis memeriksa video tular memaparkan dua anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang itu dipercayai sedang memeras wang daripada seorang lelaki.

Beliau berkata kedua-duanya kini direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

"Polis kontinjen Selangor tidak akan melindungi mana-mana pegawai kanan, mahupun pegawai rendah yang didapati terlibat dalam kesalahan jenayah. Siasatan akan dijalankan sepenuhnya mengikut jenayah yang dilakukan tanpa kompromi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular menerusi media sosial video memaparkan dua anggota polis dipercayai ketika sedang melakukan rondaan telah menahan sebuah kereta dinaiki warganegara asing dan telah memeras sejumlah wang daripada seorang lelaki.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.