ad
AGENDA

Menteri nasihat jangan bergantung pada bomoh elak jejas akidah

27 Jul 2024, 8:58 AM
Menteri nasihat jangan bergantung pada bomoh elak jejas akidah
Menteri nasihat jangan bergantung pada bomoh elak jejas akidah

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Umat Islam dinasihatkan mengelak daripada mendapatkan nasihat dan meletakkan harapan kepada bomoh kerana dikhuatiri akan menjejaskan akidah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata umat Islam sepatutnya meletakkan segala harapan serta kebergantungan kepada Allah SWT.

“Kita mahu lahirkan masyarakat Madani dan umat Islam yang meletakkan segala harapan serta kebergantungan kepada Allah SWT...Allah sahajalah tempat kita mengadu nasib apabila menghadapi kesusahan.

“Elakkan diri daripada mendapat nasihat dan meletakkan harapan kepada bomoh sebab kalau silap langkah, ia akan melibatkan soal akidah dan dibimbangi termasuk dalam golongan yang melakukan perbuatan syirik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Santuni MADANI: Mini Karnival Kampung Angkat Madani di Kampung Baru di sini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

[caption id="attachment_653854" align="alignnone" width="777"] Bapa kepada bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, Zulkarnain Idros (kiri) dan isteri Hawa Osman bersujud syukur selepas Mahkamah Rayuan manjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut UPNM di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Julai 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Sebelum ini, media melaporkan ibu kepada Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia akibat dibuli dan didera tujuh tahun lepas, meluahkan rasa kesal terhadap bomoh didakwa menjadi punca kepada kes itu.

Dalam kejadian itu, nama Allahyarham dilapor telah disebut seorang bomoh kononnya terlibat dalam kes kehilangan komputer riba milik salah seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyebabkan mangsa dipukul beramai-ramai.

Selasa lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Zulfarhan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.