ad
AGENDA

OIC kecam tindakan Israel serang konvoi PBB hantar bantuan ke Gaza

23 Jul 2024, 2:40 AM
OIC kecam tindakan Israel serang konvoi PBB hantar bantuan ke Gaza

GAZA, 23 JULAI: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Isnin mengecam serangan Israel terhadap konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuju ke Bandar Gaza, lapor Xinhua.

OIC menyatakan bahawa serangan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi, mengecam tentera Israel yang terus menghalang penduduk awam Palestin daripada mendapat makanan, air, rawatan perubatan dan perkhidmatan penting lain.

Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin, Philippe Lazzarini berkata di platform media sosial X pada Isnin bahawa konvoi PBB yang menuju ke Bandar Gaza pada Ahad diserang tentera Israel.

"Walaupun tiada korban jiwa, pasukan kami terpaksa berlindung," kata Lazzarini sambil menyatakan bahawa pasukan itu memakai jaket PBB dan bergerak dalam kereta perisai PBB yang ditanda dengan jelas.

Satu kenderaan ditembak dengan sekurang-kurangnya lima butir peluru semasa menunggu di hadapan pos pemeriksaan tentera Israel di selatan Wadi Gaza dan mengalami kerosakan teruk, menurut Lazzarini.

Pasukan itu kemudian berkumpul semula dan akhirnya sampai ke Bandar Gaza.

Lazzarini berkata bahawa pergerakan ini juga telah diselaraskan dan diluluskan oleh pihak berkuasa Israel.

-- BERNAMA-XINHUA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.