SHAH ALAM, 23 JULAI: Koperasi PKNS Berhad (KPB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kumpulan Syarikat Pantai Bharu, bagi meneroka perkembangan ekonomi kedua-dua pihak.
Berlangsung di ibu pejabat Pantai Bharu Klang baru-baru ini, perjanjian itu ditandatangani Pengerusi KPB Ishak Hashim dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Pantai Bharu Siti Laila Shamshudin.
Dalam satu kenyataan, Ishak menjelaskan kerjasama itu langkah strategik yang akan memanfaatkan anggota koperasi perbadanan itu dengan kepakaran dan kemahiran Pantai Bharu dalam perniagaan.
"Kami yakin dapat menawarkan produk yang menarik dan berdaya saing. MoU ini kali keempat diadakan tahun ini hasil perancangan strategik mempelbagai aktiviti perniagaan seiring matlamat koperasi.
"Justeru, koperasi terbuka untuk bekerjasama dengan syarikat korporat mahupun organisasi kerajaan dalam memacu pemerkasaan perniagaan," katanya.
Jelasnya, kerjasama itu juga kesinambungan persetujuan Kumpulan Syarikat Pantai Bharu untuk menjadi penaja platinum bagi Kejohanan Golf Jubli Emas Koperasi PKNS Berhad, 21 Julai lalu.
Kumpulan Pantai Bharu merupakan syarikat yang menjalankan perniagaan berasas jualan automotif dengan menjadi pengedar sah bagi Proton, Perodua, KIA dan kereta pelbagai jenama.
Syarikat tersebut turut menceburi perniagaan dalam industri hartanah, pemprosesan makanan, pelancongan, latihan pembangunan, perladangan, penternakan dan media digital.
Pada 8 Jun, KPB memeterai MoU bersama Bank Islam Malaysia Berhad, Norhendi Design & Build Sdn
Bhd dan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
Selain memelihara kebajikan ahlinya, perjanjian itu juga selaras hasrat menjadi 100 koperasi terbaik di Malaysia dengan membina masa depan yang lebih cerah.