ad
AGENDA

91 murid sekolah rendah keracunan makanan, tiada kes kritikal

23 Jul 2024, 1:53 AM
91 murid sekolah rendah keracunan makanan, tiada kes kritikal

KOTA KINABALU, 23 JULAI: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengesahkan berlaku keracunan makanan membabitkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini, selepas perkara itu tular di media sosial, semalam.

Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin, berkata setakat ini 91 murid sekolah itu dikesan mengalami gejala keracunan makanan dan sudah diberi rawatan di beberapa hospital dan klinik.

Katanya, insiden itu mula dikesan 12 tengah hari semalam apabila guru mendapati ada murid mengalami muntah-muntah dan beberapa simptom lain.

"Pihak sekolah melalui guru kemudian mendapatkan maklumat lanjut sekiranya terdapat murid lain yang terlibat dalam keracunan makanan.

"Maklumat awal yang diperoleh terdapat lebih daripada 20 orang murid yang terlibat dalam kes keracunan makanan di sekolah itu," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Berikutan itu, katanya pihak sekolah bertindak segera mengumpul maklumat murid yang terbabit dalam kes keracunan makanan itu dan membawa beberapa murid ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas.

Selain itu, katanya terdapat juga murid yang mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Klinik Kesihatan Luyang, lapor Berita Harian.

"Berikutan insiden itu, pihak sekolah memberhentikan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta-merta bagi sesi petang.

"Sekolah juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar membawa anak jagaan masing-masing untuk mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran sekiranya terdapat simptom keracunan makanan," katanya.

Katanya, berdasarkan laporan dikumpul Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (PPDKK), seramai 55 murid dirawat di HWKKS, diikuti seramai 25 murid di HQE, Klinik Kesihatan Luyang (lapan murid), Klinik UTC Kota Kinabalu (seorang) dan dua lagi di Jeti SAFMA Kota Kinabalu.

Raisin berkata, status kesihatan murid ketika dirawat ialah pada tahap dua dan dalam pemantauan pihak hospital, manakala tiada kes tahap kritikal.

"Seramai 90 peratus murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan 10 peratus lagi dibenarkan balik ke rumah.

"Pihak PPDKK telah membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada hari ini," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.