ad
AGENSI

Fiesta saringan kesihatan bantu kesan kanak-kanak bantut, obesiti

19 Jul 2024, 2:00 PM
Fiesta saringan kesihatan bantu kesan kanak-kanak bantut, obesiti

SHAH ALAM, 19 JULAI: Ujian kesihatan bagi mengesan masalah bantut, kurang zat dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak diadakan esok di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai.

Bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari, program Mini Fiesta Saringan Asas Kanak-kanak menyasar 700 peserta dalam lingkungan dua hingga 12 tahun, kata ahli majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

"Sekiranya mereka mempunyai salah satu gejala di atas, kanak-kanak ini akan menerima bantuan makanan berkhasiat dan vitamin serta sesi taklimat," kata Mohammad Firdaus Babh ketika dihubungi.

Selain saringan kesihatan, aktiviti lain termasuk taman permainan belon (soopa doopa), makan buah-buahan tempatan, pameran dan mandi air bomba serta tayangan skrin besar filem kanak-kanak.

Program dengan kerjasama Jawatankuasa Kesihatan Awam Selangor turut melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Langat, Balai Bomba Pandan Indah dan Penggerak Belia Selangor.

Kerjasama itu turut melibatkan Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat, Pusat Khidmat DUN Pandan Indah, Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.