ad
AGENDA

Polis gerakkan unit K9 cari telefon, rantai milik Nur Farah Kartini

16 Jul 2024, 11:31 PM
Polis gerakkan unit K9 cari telefon, rantai milik Nur Farah Kartini

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan unit skuba (Unit Forensik) serta Unit Anjing Pengesan (K9) ke lokasi penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus ketika dihubungi Bernama berkata proses mencari bahan bukti akan dimulakan sekitar jam 9 pagi di kawasan parit berhampiran ladang kelapa sawit berkenaan.

“Kita akan cari telefon pintar miliknya (mangsa) serta rantai dan beberapa barang lain lagi yang dipercayai boleh dijadikan bahan bukti dan menjadi petunjuk kes,” katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang Rabu lepas ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada jam 6 petang.

Mangsa yang berasal dari Miri, Sarawak merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bekerja dengan sebuah syarikat kereta sewa di Tanjung Malim, Perak, dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan.

Terdahulu, seorang anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun direman seminggu bermula hari ini untuk membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.