ad
AGENSI

Suntik pelaburan, MBI bangun projek teknologi hijau di Pulau Indah

16 Jul 2024, 11:01 AM
Suntik pelaburan, MBI bangun projek teknologi hijau di Pulau Indah

SUBANG JAYA, 16 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menjalin kerjasama dengan tiga syarikat China bagi membangunkan projek Taman Perindustrian Digital dan Teknologi Hijau China-Malaysia di Selangor Bio Bay, Pulau Indah.

MBI memaklumkan kerjasama strategik tersebut menawarkan pelbagai manfaat kepada Selangor dan republik itu selain menyokong pembangunan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan inisiatif pelepasan gas rumah hijau (GHG).

“Melalui kerjasama strategik, kemudahan infrastruktur akan dinaik taraf serta membina masa depan yang lebih mampan di Pulau Indah.

“Selain itu, akan menyuntik peluang pelaburan dan pekerjaan di Pulau Indah selain meningkat nilai kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Selangor.

“Untuk China, akan memperkukuh kerjasama antarabangsa untuk menyokong pembangunan mampan, selain mempamer kemajuan teknologinya di peringkat global serta menarik minat untuk lebih banyak syarikat dan syarikat berkaitan (GLC) jalin kerjasama,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, MBI menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan China Association for International Science and Technology Cooperation, Asia ICM Resources Sdn Bhd dan China Harbour Engineering Company Ltd.

Majlis disempurnakan Ketua Pegawai Kewangan MBI Zaniffa Azura dengan tiga wakil syarikat itu disaksikan Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia Ouyang Yujing; Timbalan Menteri Sains, Teknologi, Inovasi Dato’ Mohammad Yusof Apdal dan EXCO Sains Teknologi Dr Fahmi Ngah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.