ad
AGENDA

Diskaun saman antara tarikan karnival bulan kemerdekaan, kibar Jalur Gemilang

15 Jul 2024, 2:58 PM
Diskaun saman antara tarikan karnival bulan kemerdekaan, kibar Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung karnival sempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Cyber Event Hall Cyberjaya, Ahad ini.

Menurut laman maklumat hibur acara itu menerusi Facebook Merdeka360, karnival sehari bermula 9 pagi hingga 4.30 petang itu menyajikan pelbagai aktiviti antaranya pameran kemerdekaan, Komuniti Madani X Nadi, Kuiz Roda Merdeka, Riuh X HKHM, aktiviti interaktif kenegaraan serta persembahan patriotik.

Orang ramai juga boleh melakukan semakan dan pembayaran cukai serta kompaun Majlis Perbandaran Sepang (MPS), kaunter pengurangan saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), gantian kad pengenalan, pembaharuan lesen memandu serta mendapatkan skim pinjaman komputer riba dan desktop.

Turut menghiasi karnival itu ialah Jualan Ehsan Rahmah Madani, jualan kombo Agro Madani serta jualan trak makanan. Maklumat lanjut layari www.merdeka360.my

Pada 5 Jun lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 sebagai perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati dirinya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.